JAKARTA – Sebuah lori mini terbalik berhampiran plaza tol Jakarta-Cikampek, menyebabkan muatan berisi ikan keli berterabur di atas jalan sehingga mencetuskan kesesakan lalu lintas yang teruk, lapor laman berita Viva Banyumas semalam.
Kejadian berlaku Sabtu lalu sekitar pukul 9.20 pagi (waktu tempatan).
Ketua Kor Trafik Polis Lebuhraya Cikampek, Komisioner Sandy Titah Nugraha berkata, tayar belakang Suzuki Carry itu meletup, menyebabkan kenderaan tersebut terbalik.
Video tular di media sosial menunjukkan beratus-ratus ekor ikan keli berterabur di tengah jalan, dengan ada yang masih hidup dan mati.
Situasi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang.
Sementara itu, Sandy berkata, pemandu lori cedera ringan dan dirawat di hospital. – AGENSI