PELANTIKAN Tan Sri Hamidin Mohd Amin selaku Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan membayangi kredibiliti barisan pucuk pimpinan sedia ada dalam badan induk itu.
Sebaliknya, kehadiran semula Hamidin dilihat sebagai langkah positif untuk memacu bola sepak negara ke arah lebih baik memandangkan tiada pertindihan kuasa dengan presiden semasa Datuk Joehari Mohd. Ayub.
“Tidak sama sekali (andaian barisan kepimpinan sedia ada tidak memiliki kredibiliti). Semuanya ada kredibiliti cuma kita anggap bahawa Tan Sri dilantik sebagai Presiden Kehormat adalah satu penambahbaikan dengan apa yang sedia ada.
“Peranan kita (Joehari dan Hamidin) berbeza. Tan Sri lebih kepada membantu untuk menasihat dan kerja presiden berjalan seperti biasa,” kata Joehari selepas Kongres Luar Biasa, semalam.
Mengikut Artikel 22 Statut FAM, kongres boleh mengurniakan gelaran Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat kepada mana-mana individu kerana khidmatnya yang patut dipuji dalam bola sepak.
Sebagai rekod, Kongres FAM pada tahun 2014 telah menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM kepada mantan presiden terdahulu, Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Selain memiliki pengalaman, Hamidin juga memiliki hubungan baik dengan beberapa badan induk antarabangsa dan memiliki jawatan dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
“Kita memerlukan keberadaan Tan Sri, kita perlukan hubungannya dengan FIFA, AFF, AFC dan juga (hubungan) dengan badan kerajaan serta swasta. Jadi, kita ambil kira bahawa adalah penting untuk kita dapat bekerjasama dengannya bagi membawa FAM ke tahap lebih tinggi,” katanya.