SHAH ALAM – Suspek utama pembunuhan seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya sempat mengeluarkan wang sebanyak RM200 menerusi kad mesin pengeluaran automatik (ATM) mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selepas kejadian pembunuhan itu, suspek mencuri beberapa barang kepunyaan milik mangsa termasuk kad ATM dan telefon bimbit.
“Dia (suspek) telah gunakan kad ATM dalam RM200 untuk beli beberapa barang selepas kejadian itu.
“Suspek tidak mempunyai kerja tetap, bermakna dia mengambil kesempatanlah dengan mengambil barang mangsa untuk kegunaannya,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Menurut beliau, polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh dalam tempoh 48 jam dengan penangkapan suspek utama tersebut selain tiga wanita bagi membantu siasatan.
Semua wanita itu melibatkan kekasih suspek utama, seorang rakan kepada mangsa yang tinggal di atas unit rumah mangsa serta seorang lagi yang bersama suspek utama semasa pengeluaran kad ATM itu.
“Semua suspek akan disambung reman dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE