PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki menghina bekas isterinya yang mempunyai parut bersalin akibat pembedahan caesarean mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial.
Perkongsian di Threads oleh seorang wanita mendedahkan tangkap layar perbualan dengan lelaki itu yang merendahkannya kerana mempunyai parut pembedahan dan tanda regangan selepas bersalin.
“Ada ke orang nak dekat perempuan yang pernah beranak ‘caesarean’, selepas itu ‘stretch mark’ (tanda regangan) pun berlambak,” kata lelaki itu.
“Inilah kata-kata bekas suami kepada bekas isterinya, dia yang curang dulu, dia pula yang paling tersakiti,” tulis wanita itu pula pada ruangan kapsyen.
Menerusi ruangan komen, kebanyakan orang ramai mengecam tindakan lelaki tersebut yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan tidak menghargai pengorbanan wanita yang pernah melahirkan anaknya.
“Bekas suami awak yang cakap macam ini? Orang yang bagi awak parut dan semua kesan regangan itu? Baguslah, awak sudah berada di tempat yang selamat sekarang, nasib baik dah jadi bekas suami,” komen Dzuhx.
“Parut caesarean sebab bermati-matian berkorban untuk lahirkan zuriat dia? Ini bukan manusia lagi la kakak,” balas Nurul Najmatun.
“Bekas suami awak tiada otak ke apa, kita manusia bukannya binatang tak pakai baju, bukan orang nampak pun,” kata Chefdpat. – KOSMO! ONLINE