PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia berangkat ke Rom, Itali tengah hari tadi bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Anwar berkata, lawatan kerja beliau dan delegasi Malaysia ke Rom, Itali akan turut melibatkan pertemuan bersama peneraju industri perniagaan di negara tersebut.
“Saya seterusnya ke Paris untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron dan mengetuai sesi rundingan bersama gergasi industri negara berkenaan.
“Saya juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk “Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement di Sorbonne University”,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, lawatan itu turut merangkumi penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Lula da Silva sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN.
Ujar beliau, Malaysia akan terus mengangkat kepentingan multilateralisme berteraskan undang-undang, tadbir urus AI, tindakan iklim dan kesihatan global demi masa depan dunia yang lebih adil dan inklusif.
“Moga segala urusan dipermudah dan lawatan ini membawa manfaat nyata buat rakyat dan negara. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE