PETALING JAYA – Perkhidmatan Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang beroperasi sepenuhnya hari ini pantas dan cekap serta mudah diakses oleh semua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang sentiasa mendahulukan keperluan serta keselesaan pengguna.
“Syabas dan tahniah kepada pihak Malaysia Airports dan semua yang terlibat atas usaha berterusan dalam menambah baik mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan para pelawat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau hari ini meninjau sendiri kemudahan perkhidmatan aerotrain di KLIA sebelum berlepas bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke tiga negara.
Katanya, perkhidmatan aerotrain di KLIA kembali beroperasi bermula hari ini setelah melalui proses penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Ujar beliau, ia merupakan satu langkah penting demi memastikan keselesaan dan kelancaran pergerakan semua pihak khususnya para penumpang yang menggunakan KLIA sebagai pintu masuk dan keluar negara.
“Saya berpuas hati dengan tahap pengoperasian aerotrain ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE