KUALA LUMPUR – Pusingan separuh akhir menjadi sasaran skuad hoki bawah 18 tahun (B-18) lelaki negara menjelang penganjuran sulung Kejohanan Piala Asia B-18 di Dazhou, China bermula 3 hingga 13 Julai nanti.
Ketua jurulatih skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, sasaran itu dianggap realistik berdasarkan kekuatan pasukan-pasukan lain yang menghuni Kumpulan B bersama Malaysia.
Justeru, beliau melaungkan keyakinan anak-anak buahnya itu mampu untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua bagi memastikan slot ke pusingan separuh akhir.
“Kalau kita tengok semula saingan dalam Kumpulan B, kita ada Indonesia, Kazakhstan, Taiwan, Uzbekistan dan Jepun. Saya fikir, minimum kedudukan pertama atau kedua itu memang boleh (dicapai).
“Jadi, kita akan melayakkan diri ke pusingan separuh akhir dan sekiranya menjadi juara kumpulan, kita mungkin boleh melangkah hingga ke perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Dalam pada itu, Nor Saiful juga sedia menjadikan kejohanan tersebut sebagai platform untuk membesarkan lagi kumpulan pemain bagi mempersiapkan pasukan ke Piala Dunia Remaja di India hujung tahun ini.
“Pemain-pemain yang berada dalam pasukan B-18 ini tidak semuanya ada dalam pasukan saya (skuad remaja). Dengan adanya mereka, kini kita memiliki kumpulan bakat yang lebih besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE