BESUT – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal jenis Honda Ex5 ditungganginya dirempuh oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 di Jalan Jerteh – Kuala Besut berhampiran Kampung Dengir di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 9.20 pagi itu, mangsa, Zakaria Husain, 66, yang berasal dari Kampung Bukit Cina di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sewaktu kejadian, motosikal dinaiki Zakaria yang berada di bahu jalan dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U.
“Sebuah kenderaan Proton X70 yang berada di laluan sama menghala ke Kampung Raja di sini tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa. Rempuhan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE