SEBERANG PERAI – TikTok dijangka tampil dalam tempoh terdekat untuk memberikan penjelasan berhubung is trend Player Knockout Battle atau dikenali ‘PK Battle’ di aplikasi TikTok yang dikhuatiri memberi kesan terhadap kesihatan mental golongan muda terutamanya kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit yang turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Katanya, isu berkenaan telah dilaporkan oleh pihak media di mana ibu bapa menyuarakan kebimbangan tentang wang yang dibelanjakan anak-anak mereka untuk membeli ‘gift’ atau hadiah bagi tujuan PK Battle.
“Arahan telah dikeluarkan pagi tadi dan saya jangka mungkin dalam minggu ini mereka (TikTok) akan datang untuk berbincang,” katanya.
Terdahulu, Fahmi melakukan tinjauan pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, ini antara sebab kenapa pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa anak-anak di bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki akaun TikTok, Instagram dan mana-mana media sosial yang lain.
Hari ini, Kosmo! melaporkan golongan muda semakin kemaruk dengan trend PK Battle di aplikasi TikTok sehingga ada yang sanggup ponteng sekolah selain menghabiskan wang semata-mata bagi membeli hadiah digital. – KOSMO! ONLINE