NARATHIWAT, THAILAND – Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini tidak menerima sebarang permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka ke peringkat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 Thailand.
Sebuah portal berita tempatan melaporkan, jurucakap Pejabat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 di Narathiwat mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada pendakwa raya wilayah berkaitan kes itu.
“Selepas menyemak rekod di dalam sistem komputer, tiada rayuan dikemukakan oleh pihak pendakwa raya berhubung kes tersebut untuk ke peringkat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 Thailand.
“Sebarang permohonan rayuan perlu dikemukakan melalui pejabat Mahkamah Wilayah Narathiwat terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada kami,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat memberitahu, pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan untuk memindahkan kes Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dengan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada pihak pendakwa raya.
Menurutnya, semua rayuan kes perlu dikemukakan di pejabat Mahkamah Wilayah Narathiwat terlebih dahulu sebelum dihantar kepada Mahkamah Rayuan.
“Mengikut rekod dalam sistem komputer, tiada apa-apa permohonan lagi daripada pihak pendakwa raya berkenaan kes enam rakyat Malaysia itu,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan perlu menjalani tambahan tempoh tahanan di penjara selama sebulan bermula sehingga 6 Julai depan meskipun sudah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok.
Jurucakap Mahkamah Narathiwat berkata, ini merupakan kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan selepas kesemua tertuduh dibebaskan pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE