SEPANG- Berbaki satu hari lagi tempoh perkhidmatan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilihat masih bersemangat meneruskan khidmatnya.
Tengku Maimun hari ini dilihat hadir bagi merasmikan penutupan Persidangan Khas Hakim-Hakim di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tadi.
Beliau bersama hakim-hakim lain dilihat memasuki dewan hotel bagi menghadiri majlis penutup persidangan dua hari yang berakhir hari ini itu.
Setakat ini, persoalan sama ada Tengku Maimun bersara atau diberi lanjutan tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara masih belum terjawab.
Hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun, 66, sebagai Ketua Hakim Negara adalah pada Selasa ini dan mencapai usia persaraan wajib pada Rabu ini.
Ketika wajahnya dirakam lensa kamera, Tengku Maimun tidak lekang menguntum senyuman dan kelihatan masih bersemangat biarpun sedang menghitung hari-hari terakhir sebagai Ketua Hakim Negara.
Beliau juga sempat menyapa hakim-hakim yang berada di dalam dewan sebelum mengambil tempat di depan pentas.
Turut kelihatan bersama Tengku Maimun adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada Rabu ini. – KOSMO! ONLINE