KOTA BHARU – Kegembiraan seorang remaja bermandi-manda di Sungai Baung, Pengkalan Chepa di sini petang tadi bersama empat rakannya berakhir tragedi apabila dia lemas di sungai tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.58 petang itu, mangsa, Loqman Al Hakim Nor Hayami, 14, disedari lemas oleh rakannya ketika sedang mandi di kawasan dalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan apabila mangsa dibawa naik tebing sungai. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Baung, Mohd. Shukri Husein, 53, berkata, mangsa dijumpai selepas 30 minit usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE