GEORGE TOWN – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran sebuah unit rumah flat di Taman Sinar Pelangi, Jelutong di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tindakan pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan remaja tersebut dalam kebakaran berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 7.26 malam tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan lokasi kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
“Pasukan tiba dua minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah flat. Kebakaran berlaku di bahagian balkoni dengan anggaran kemusnahan kira-kira 10 peratus.
“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 13 tahun yang terperangkap di dalam rumah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bertindak memecah pintu dan mengeluarkan mangsa dalam keadaan selamat.
Tambahnya, api dikawal sepenuhnya pada pukul 7.41 malam sebelum operasi ditamatkan pada pukul 8.44 malam. – KOSMO! ONLINE