fbpx

Kecoh bom jenis ‘Ariel’ dekat Terowong Menora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUTIR bom lama jenis 'Ariel' ditemukan seorang lelaki ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan belukar di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora hari ini.

IPOH – Laluan menuju Terowong Menora dari kedua-dua arah ditutup selama hampir satu jam hari ini bagi memberi laluan kepada proses memusnahkan bom lama yang ditemukan di kawasan belukar di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.

Plus Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di aplikasi X memaklumkan, penutupan sementara laluan Kuala Kangsar-Ipoh bagi kedua-dua arah itu dilaksanakan atas tujuan keselamatan.

Menurut PLUS, trafik arah utara dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Selatan, manakala trafik arah selatan dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar.

“Penutupan bermula pukul 3.02 petang sebelum semua lorong menuju ke utara dibuka semula 15 minit kemudian. Trafik ke selatan masih dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar bagi kerja-kerja kecemasan sebelum ia dibuka pukul 3.44 petang,” katanya.

Difahamkan, kerja-kerja memusnahkan bom itu dilakukan oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian dengan radius letupan sejauh 200 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, bom lama jenis ‘Ariel’ itu dijumpai pekerja kontrak pada pukul 9.30 pagi.

“Ketika membersihkan pokok dan rumput, lelaki itu menjumpai sebutir bom. Pengadu kemudian menghubungi peronda PLUS dan polis untuk tindakan lanjut. Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI