fbpx

‘Pemandu bot beri alasan jaket keselamatan basah, perjalanan tak jauh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang S. Arumugam dan mendiang anaknya, A. Sarrvikha di Taman Bayu Aman, Teluk Air Tawar, hari ini.

SEBERANG PERAI – “Berulang kali kami meminta jaket keselamatan untuk dipakai memandangkan ada ramai anak kecil namun pemandu bot memberi alasan ia basah dan perjalanan ke resort dekat sahaja”.

Demikian menurut S. Sanggetha, 39, antara mangsa yang terselamat dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, Sabtu lalu.

Menceritakan semula detik cemas itu, Sanggetha berkata, rombongan percutian empat keluarga terdiri daripada lapan dewasa dan tujuh kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke sebuah resort di Pulau Perhentian Besar selepas makan malam di Pulau Perhentian Kecil kira-kira pukul 9 malam.

“Cuaca memang sudah nampak mahu hujan dan sebelum menaiki bot, suami saya dan rakan-rakannya sudah meminta jaket keselamatan tetapi pemandu memberitahu perjalanan tidak jauh, sekitar 10 hingga 15 minit sahaja.

“Ketika dalam perjalanan, hujan mulai turun dengan lebat ditambah dengan keadaan sangat gelap dan bot yang dinaiki mulai terumbang ambing.

“Saya memegang kuat anak sulung kami, A. Hirsshika manakala suami memegang anak bongsu sebelum datang satu ombak yang amat besar menyebabkan bot terbalik,” katanya.

Sanggetha dan anaknya, Hirsshika ketika ditemui di kediamannya di Taman Bayu Aman, Teluk Air Tawar,  hari ini.

Suaminya, S. Arumugam, 40, yang merupakan jurutera, dan A. Sarrvikha, 3, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi kanak-kanak, Vennpani Vijeya Raj, 10 turut maut dalam insiden itu.

Mengulas lanjut, eksekutif syarikat swasta itu berkata, kejadian itu berlaku tatkala bot sudah menghampiri persisiran resort namun keadaan laut yang amat bergelora menyebabkan masing-masing sukar untuk berenang ke daratan.

“Walaupun sudah dekat kerana saya nampak lampu-lampu resort tetapi keadaan laut masih dalam dan kaki saya tidak dapat merasai dasar laut dan kami berdua terpisah daripada suami serta rakan-rakannya.

“Saya juga tidak pandai berenang, namun pada masa sama saya tidak lepaskan tangan anak sulung kuat sebelum terdengar jeritan seorang lelaki yang berada atas bot yang diparkir yang menghulurkan tangan untuk menarik saya ke atas.

“Kami berdua diselamatkan lelaki terbabit dan dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan kerana paras oksigen anak saya semakin menurun.

“Saya kemudiannya menghubungi rakan suami dan bertanya akan keadaan mereka semua sebelum dimaklumkan yang suami dan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya sambil menahan sebak.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama mereka bercuti ke Pulau Perhentian bersama rakan-rakan karib suaminya bagi meraikan ulang tahun mereka ke-40. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI