KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditemui mati dipercayai terlibat dalam pergaduhan bersama rakan sekerja warga asing di sebuah premis besi buruk di Jalan 1/18B, Kampung Batu Off Jalan Ipoh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pemilik premis tersebut menerusi panggilan kecemasan MERS 999 sekitar jam 11.33 malam.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku antara mangsa yang berusia 37 tahun dan suspek, seorang lelaki warga Myanmar, yang juga pekerja di premis berkenaan.
“Kedua-dua mereka dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan Unit Forensik IPK Kuala Lumpur serta Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang sebilah parang di tangan kirinya. Mangsa juga mengalami kecederaan parah termasuk pada bahu kanan, kepala kiri, leher, dagu kiri serta terdapat kesan tikaman pada bahu,” ujarnya.
Susulan itu, pihak polis kini giat mengesan suspek yang melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Premis tersebut turut dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) dan usaha mendapatkan serta meneliti rakaman sedang dijalankan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE