fbpx

MHC puas hati, tak salahkan Sarjit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi biru) sekadar menamatkan saingan Piala Negara-Negara FIH di kedudukan keenam.

KUALA LUMPUR – Kegagalan melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH baru-baru ini tidak patut diletakkan sepenuhnya ke atas ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, barisan pemain juga perlu mengambil tanggungjawab atas kegagalan itu di mana Malaysia sekadar muncul pasukan keenam terbaik kejohanan tersebut.

Kekalahan 3-4 kepada New Zealand di peringkat kumpulan meskipun sudah mendahului 3-0 sedikit sebanyak mengecewakan Subahan kerana beberapa pemain terpaksa meninggalkan padang buat seketika akibat dilayangkan kad.

Beliau berkata, keadaan itu sepatutnya tidak berlaku memandangkan sebahagian besar pemain Speedy Tigers berstatus senior selain memiliki pengalaman luas dalam perlawanan-perlawanan penting.

“Saya tengok pasukan Malaysia di bawah Sarjit, mereka boleh bermain dan menandingi mana-mana pasukan gergasi dunia. Bagaimanapun, masalah untuk mempertahankan kedudukan selain mentaliti pemain.

“Sebagai contoh, kita mendahului 3-0 ketika berdepan New Zealand tetapi tiba-tiba jadi kelam-kabut kerana ada pemain dilayangkan kad. Bagi saya, memang tak perlu (dapat kad) selaku pemain senior,” katanya kepada pemberita pada sidang media MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Malaysia yang beraksi sebagai tuan rumah gagal menamatkan saingan dalam kedudukan lima terbaik selepas tewas 1-2 kepada Wales pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

Sementara itu, Subahan turut menegaskan, pemain-pemain senior perlu memainkan peranan bagi membantu kemenangan pasukan, bukannya menjadi punca kekalahan skuad negara.

“Saya sudah jadi presiden (sejak) sembilan tahun lepas dan masih ada pemain-pemain senior yang beraksi. Mereka ini perlu memainkan peranan dan jangan menggadaikan nasib pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau masih menyuarakan rasa puas hati terhadap prestasi keseluruhan dipamerkan Speedy Tigers sepanjang kejohanan tersebut biarpun sedikit kecewa dengan keputusan yang dilakar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI