GEORGE TOWN – Polis mengesahkan penemuan mayat dua beranak warga tempatan yang dijumpai dalam keadaan sudah reput di bilik tidur utama, aras sembilan, sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terkesan bau busuk dari kediaman itu pada pukul 4.41 petang tadi.
“Pasukan siasatan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Balai Polis Sungai Nibong dengan dibantu anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memecah masuk ke dalam rumah tersebut.
“Pemeriksaan di tempat kejadian telah menjumpai mayat seorang perempuan dan kanak-kanak perempuan di bilik utama dalam keadaan reput.
“Dokumen pengenalan si mati mendapati kedua-duanya masing-masing berumur 40 dan dua tahun serta dipercayai hubungan mereka adalah ibu dan anak,” katanya di sini, sebentar tadi.
Beliau memberitahu, pakar Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang dan Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pinang turut dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian.
“Kedua-dua mayat si mati telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE