SHAH ALAM – Tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian yang dikenal pasti boleh menyebabkan kerosakan paip gas sehingga mencetuskan letupan dalam insiden yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung mengikut garis panduan ditetapkn Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar serta Petronas.
“Kerja korekan tanah paip tidak menyebabkan gangguan paip Petronas secara langsung kerana keadaan paip gas Petronas berada di kedalaman 5.6 meter dari paras jalan dan jarak paip Petronas adalah pada kedalaman 3.5 meter dari paip kumbahan.
“Selain itu tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan sewaktu kejadian berlaku dan tidak terkesan sebarang aktiviti sabotaj dan khianat. Kerja penggantian kumbahan telah berakhir 30 Mac 2025,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum kejadian, tiada sebarang penunjuk dari segi bacaan tekanan oleh pusat kawalan, manakala bacaan tekanan gas dalam paip adalah normal serta hanya menurun mendadak ketika kejadian berlaku.
Hussein berkata, polis menjalankan siasatan terperinci melibatkan dua aspek iaitu di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat api atau bahan letupan yang boleh menyebabkan kerosakan.
Katanya, siasatan turut dijalankan dari aspek kecuaian iaitu Seksyen 285 dan 286 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan bahan api dan bahan letupan yang menyebabkan cedera atau bencana atau benda mudah terbakar yang boleh menyebabkan cedera atau bencana kepada harta benda.
“Tumpuan siasatan diberikan kepada pertama, kerja-kerja pihak kontraktor kawasan letupan termasuk binaan deretan lot kedai dan penggantian paip pembentung.
“Kedua, sebarang aktiviti khianat dan sabotaj mana-mana pihak. Seterusnya, lain-lain aktiviti iaitu sebarang letupan bom atau mercun sebagainya,” katanya.
Katanya, polis mengambil bukti sampel tertentu serta merakam 212 saksi termasuk mangsa, pihak Petronas, MBSJ, pemaju kontraktor, saksi bebas termasuk saksi di media sosial dan pakar bebas. – KOSMO! ONLINE