SHAH ALAM – Keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip menyebabkan ia tidak stabil dan bocor, seterusnya meletup dalam insiden di Putra Heights pada 1 April lalu.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, justeru kejadian letupan tersebut bukan disebabkan aktiviti di permukaan tanah, sebaliknya keadaan di bawah tanah.

“Hasil siasatan menunjukkan paip gas terlibat memenuhi spesifikasi teknikal ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong oleh tanah.
“Ia dikenal pasti lembut dan menyebabkan kegagalan fizikal paip di lokasi kejadian dan kebocoran gas. Tanah lembut menyebabkan paip bergerak berulang kali.
“Ini menimbulkan tekanan berulang, kelesuan dan keletihan pada permukaan paip,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE