PETALING JAYA – King crab, ikan salmon dan kod, cendawan truffle dan strawberi import antara barangan yang dinaikkan kepada kadar lima peratus di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa esok.
Barangan lain yang turut dinaikkan pada kadar sama ialah essential oil (minyak pati), sutera dan jentera industri.
Untuk barangan yang kekal pada kadar lima peratus pula ialah abalone dan lobster, quinoa, keju, jem buah-buahan dan telefon pintar.
Seterusnya, barangan dinaikkan ke kadar 10 peratus di bawah SST ialah sisa skrap tungsten, basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Barangan yang kekal pada kadar 10 peratus pula ialah kaviar, sirip ikan yu, minuman beralkohol, rokok dan cerut serta barangan kulit.
Sebelum ini media melaporkan, berkuat kuasa 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Pelaksanaan semakan dan perluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak. – KOSMO! ONLINE