fbpx

‘Jangan sampai buka dalam kain, ingat janji akad nikah nak semati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fauzi Nawawi meluahkan kebimbangan terhadap generasi baharu yang semakin cenderung berkongsi masalah rumah tangga di media sosial.

KUALA LUMPUR – Berpengalaman dalam alam perkahwinan, pelakon Fauzi Nawawi meluahkan kebimbangan terhadap generasi baharu yang semakin cenderung berkongsi masalah rumah tangga di media sosial.

Kata Fauzi atau nama lengkapnya Muhammad Fauzi Mohd. Nawawi, 52, perkahwinan memerlukan rasa tanggungjawab yang tinggi selain menyeru pasangan muda agar matang dalam menangani masalah rumah tangga.

“Saya nampak benda (muat naik media sosial) dah dinormalisasikan dalam kalangan generasi baharu. Tak mampu cakap apa, saya sedih sebab mereka tiada prinsip.

“Sedangkan waktu akad nikah dah berjanji akan sehidup semati dengan pasangan. Jangan libatkan ibu ayah dalam masalah rumah tangga.

“Rumah tangga kita tidak perlu ada pihak ketiga. Kalau suami isteri dah buat keputusan nak bernikah, maksudnya mereka kena berani dan kuat hadapi masalah dan selesaikan permasalahan,” katanya kepada Kosmo! Online semasa tayangan episod akhir drama lakonannya, Lambaian Huda.

Sempat berkongsi pengalaman hampir dua dekad mendirikan rumah tangga bersama pelakon Lisdawati, Fauzi mendedahkan kejujuran adalah elemen paling penting dalam menjaga perhubungan.

Malah, dia juga menekankan bahawa setiap pasangan dicipta untuk saling melengkapi tanpa perlu berkongsi konflik rumah tangga kepada orang luar.

“19 tahun berkahwin, tip tiada apa sangat cuma kena jujur saja. Setiap manusia lakukan kesilapan, bergantung kepada pasangan masing-masing untuk menilai dan memahami situasi.

“Nak cari lengkap dan sempurna tak jumpa, kita pasangan diwujudkan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

“Setiap orang akan ada kelemahan atau keburukan, pasangan kita akan menutup segala kelemahan dan keburukan itu.

“Tip kami juga kalau bergaduh atau selisih faham, jangan muat naik dalam media sosial atau cerita kepada sesiapa. Jangan sampai dalam kain buka kepada umum, lebih baik selesaikan sendiri,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Fauzi dan Lisdawati mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 17; Nur Aina Fazneesya,16; Ahmad Nur Fyrdaus, 11; dan Ahmad Nur Fayyadh, 6.

Empat lagi anak hasil perkahwinan pertama Fauzi ialah Nurul Hainil Fatihah, 27; Hanna Faresha, 24; Mohd Fikri Hakimi, 21; dan Muhammad Fareez Hazwan, 26, yang juga penyanyi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI