KUALA LUMPUR – Desas-desus berhubung kepulangan bekas perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terjawab apabila badan induk itu mengesahkan perkara tersebut.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Iskandar memandangkan beliau masih memiliki baki kontrak sehingga 2028 bersama Persatuan Badminton Ireland.
“Kami ingin mengumumkan bahawa hari ini kita akan memiliki jurulatih baharu bagi menyokong skuad perseorangan negara, iaitu Iskandar Zulkarnain. Beliau akan melaporkan diri pada 1 Oktober depan.
“Proses rundingan sudah dibuat sebelum ini dengan persetujuan dicapai minggu lepas dengan beberapa syarat yang ditetapkan. Maklumat terperinci akan diumumkan sebaik Iskandar pulang dari Ireland,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Kehadiran bekas pemain yang pernah diberi julukan Sang Penakluk itu adalah bagi membantu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen dengan peranannya sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita.
Jonassen menganggap bekas pemain kebangsaan itu merupakan calon yang sangat tepat untuk mengemudi skuad perseorangan wanita dalam memastikan prestasi lebih konsiten.
“Kami sangat gembira untuk menyambut kepulangan Iskandar ke BAM bagi memainkan peranan penting ini. Pengalaman sebagai jurulatih di pentas antarabangsa selain bergelar bekas pemain menjadi tambah nilai cukup berharga.
“Skuad perseorangan wanita berada dalam fasa peralihan dan beliau merupakan calon terbaik untuk membantu pemain membina keyakinan dan mempamerkan aksi lebih konsisten di pentas dunia,” ujarnya.
Sebagai rekod, Iskandar membuktikan kalibernya sebagai jurulatih apabila mengemudi perseorangan lelaki Ireland, Nhat Nguyen mara ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis tahun lalu.
“Saya rasa sangat gembira dapat kembali ke BAM tetapi bukan sebagai pemain. Selaku jurulatih, saya sedia untuk menabur bakti kerana pengalaman saya di Ireland sudah banyak mengajar saya.
“Saya bersyukur kerana diberikan peluang dan saya dapat melihat ada potensi dalam skuad perseorangan wanita. Fokus saya adalah untuk membentuk keyakinan mereka serta mengasah kesedaran taktikal dan fizikal,” ujar Iskandar. – KOSMO! ONLINE