fbpx

‘Hari pertama ke tadika, Tunku Ismail tidak mahu saya meninggalkannya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Zarith Sofiah dan Sultan Ibrahim bersama Tunku Ismail. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkongsi nukilan baginda sempena ulang tahun kelahiran ke-41 putera sulung, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menerusi nukilan dimuat naik pada hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah menukilkan kelahiran anak sulung membawa pengalaman baharu yang penuh dengan kegembiraan bagi semua ibu bapa, begitu juga dengan baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sewaktu kelahiran Tunku Ismail pada 1 Syawal iaitu hari raya puasa, Sultan Ibrahim ketika itu sedang menziarahi ibu saudara baginda dan keluarga serta dimaklumkan Raja Zarith Sofiah selamat melahirkan putera sulung, Tunku Ismail.

“Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada Allah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Alhamdulillah.

“Banyak kenangan manis semasa zaman kanak-kanaknya, seiring dia membesar bersama adik-adiknya. Saya masih ingat hari pertama saya menghantarnya ke tadika.

“Dia tidak mahu saya meninggalkannya, jadi saya berdiri di tingkap kelas selama mana saya dibenarkan,” kongsi baginda hari ini.

Raja Zarith Sofiah turut menceritakan tahun-tahun yang dilalui Tunku Ismail sebagai kadet dan kemudian sebagai pegawai tentera di India amat sukar untuk baginda dan Sultan Ibrahim hadapi.

“Namun, kami sempat melawatnya di Akademi Tentera India di Dehradun dan bertemu keluarga yang menjaga serta menerima dia dengan penuh kasih sayang di rumah dan di hati mereka,” kongsi baginda lagi.

Raja Zarith Sofiah juga masih mengingati bagaimana Tunku Mahkota selalu meminta baginda membelikan Playstation.

“Setiap kali versi baharu dijual, dia akan teruja meminta saya membelikannya. Antara permainan Playstation yang dimain termasuk bola sepak FIFA.

“Saya akan bertanya kepadanya, “Ini game apa? Apa yang Teak (nama timangan Tunku Mahkota) perlu buat? dan dia akan menjawab, “Teak mesti pilih pengurus bola sepak dan Teak perlu pilih pemain yang sesuai untuk pasukan bola sepak Teak.”

“Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan merealisasikan permainan itu dalam kehidupan sebenar,” menurut nukilan baginda.

Raja Zarith Sofiah turut menitipkan doa sempena anak sulung baginda menyambut ulang tahun kelahiran Tunku Ismail.

“Kami berdua berdoa Allah Subhanahu Wa Ta’ala meberkati dirinya dengan kesihatan, kebahagiaan, dan kejayaan.

“Kami memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar membimbingnya dan mengurniakan kepadanya banyak tahun yang bahagia bersama isteri dan anak-anaknya, dan semoga dia dikurniakan kebijaksanaan untuk mengasihi dan menjaga rakyat Johor,” mengakhiri nukilan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI