Kuala Lumpur – Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus akan memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu susulan pertukaran Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebagai Ketua Pengarah baharu agensi berkenaan.
Untuk rekod, pelantikan Mohd. Shuhaily ke AKPS bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang bersara wajib pada 10 Februari lalu selepas berkhidmat lebih 38 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar bakal mengisi kekosongan jawatan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman menggantikan Mohd. Shuhaily.
Majlis serah terima tugas diadakan hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail serta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Turut berlangsung dalam majlis berkenaan ialah acara serah terima jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) JSJ daripada Datin Seri Ennie Salina Roseli kepada Datin Nurashidah Ishak.
Penyerahan tersebut disaksikan Pengerusi Perkep Pusat yang juga isteri kepada Ketua Polis Negara, Datin Seri Munirah Che Rose. – KOSMO! ONLINE