ALOR GAJAH – Enam gadis berusia dalam lingkungan 20-an dilaporkan sesat ketika mendaki di kawasan hutan berhampiran Rumah Api di Tanjung Tuan, di sini hari ini.
Kesemua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang dan BBP Masjid Tanah.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.40 tengah hari.
“Pasukan bomba dikejar ke lokasi sejauh kira-kira 33 kilometer dan setiba di sana kita dimaklumkan seramai enam wanita telah sesat ketika aktiviti mendaki.
“Kesemua mereka ditemui oleh pasukan BBP Telok Kemang sebelum ketibaan anggota dari BBP Masjid Tanah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, operasi menyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Zaidi Kadiron dan turut disertai Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE