PETALING JAYA – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion yang mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai pelaburan komited direkodkan ECERDC bagi tempoh sama pula mencecah RM10.4 bilion iaitu melepasi sasaran RM10 bilion ditetapkan untuk tahun 2025.
“Perencanaan kerajaan terutamanya melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan sebanyak lapan buah projek strategik dan berimpak tinggi yang dijadualkan akan siap pada tahun ini.
“ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi efisien dan proaktif yang mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Mesyuarat ECERDC berlangsung hari ini dan beberapa perkara terkait kemajuan semasa petunjuk-petunjuk utama bagi koridor ekonomi itu diteliti.
Kata beliau, mesyuarat turut membincangkan kerangka hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang sedang giat disediakan kerajaan.
“Saya tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur-pelabur termasuk kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE