fbpx

CWC: Kane ‘bernafsu’ buru gelaran kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE (kanan) berjaya meledak dua gol buat Bayern mengalahkan Flamengo 4-2 awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir. - AFP

MIAMI – Penyerang prolifik Bayern Munich, Harry Kane meluahkan kemahuan tingginya untuk merangkul trofi kedua peribadinya selepas menyumbangkan dua gol membantu kemenangan 4-2 ke atas Flamengo pada aksi 16 terbaik Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.

Kane sebelum ini berjaya menamatkan badi memenangi trofi selepas menjuarai Bundesliga musim ini dan kini bakal menyaksikan pertemuan menarik antara Bayern menentang juara Eropah, Paris Saint-Germain di suku akhir pada 6 Julai ini.

“Perlawanan yang agak sukar di mana Flamengo adalah pasukan berkualiti. Namun, kami bermain dengan baik dan jaringan keempat adalah cukup penting buat kami untuk menarik nafas lega,” kata Kane.

Terdahulu, pemain tengah Flamengo, Erick Pulgar menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Bayern di depan seawal minit keenam sebelum Kane menggandakan kedudukan buat gergasi Jerman itu berselang tiga minit kemudian.

Mesin gol England itu meledak gol kedua peribadi dalam aksi tersebut pada minit ke-73 dengan satu lagi jaringan diperoleh menerusi Leon Goretzka.

Flamengo pula terpaksa akur pulang dengan tangan kosong walaupun berjaya menjaringkan dua gol dalam aksi di Stadium Hard Rock itu melalui Gerson dan Jorginho.

Bagi pengendali Bayern, Vincent Kompany, tempoh 20 minit pertama menjadi detik terbaik buat pasukannya sambil mengakui Flamengo bermain baik untuk menjadikan perlawanan itu cukup berintensiti.

“Saya tertanya-tanya adakah kami mampu mengekalkan intensiti dan boleh kekal beraksi baik? Tetapi akhirnya kami sudah menunjukkan kemampuan dan berjaya melakukannya dengan baik untuk memenangi perlawanan.

“Kita akan lihat apa yang perlu dilakukan untuk hadapi perlawanan selepas ini. Sekarang kami perlukan rehat dan menambah semula tenaga selepas mengharungi saingan penuh mencabar,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI