fbpx

Che Mat Satay sasar 1,000 francaisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan Fadzly dan Irdawaty bermula sederhana dengan sekadar menumpang di restoran milik rakan sebelum perniagaan mereka berkembang untuk menjual 50,000 cucuk sate sebulan.

BATU GAJAH – Pasangan suami isteri, Fadzli Mohd. Rafdzi dan Irdawaty Ahmad Ariffin, masing-masing berumur 43 tahun tidak menyangka perniagaan sate mereka di bawah jenama Che Mat Satay bakal membawa dimensi baharu dalam kehidupan.

Jualan sate ayam, daging, kambing dan perut, selain kuah kacang segera sejak 2019 dengan menumpang di sebuah restoran milik rakan di Kampung Sentang, di sini, menjadi titik mula buat ibu bapa kepada empat orang anak ini untuk menerokai industri francais yang giat berkembang.

“Mengapa sate dan kuah kacang? Hidangan ini digemari semua kaum di negara ini tanpa mengira umur dan pendapatan, malah ia dinikmati sepanjang masa, bukan hanya pada waktu tertentu atau musim perayaan.

“Selain itu, kaedah mempro­ses sebenarnya tidak sukar jika betul caranya. Cucuk dan bakar dengan kadar pemanasan yang betul,” kata Irdawaty kepada ­Kos­mo! ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ujarnya, daging dan perut Che Mat Satay tidak mempunyai lemak supaya pelanggan dapat merasai sepenuhnya kelazatan isinya, selain kuah kacang resipi turun temurun daripada nenek sendiri.

Irdawaty dan Fadzly tidak kekok membantu pekerja membakar sate apabila ada keperluan.

Konsep perhubungan awam pasangan ini mudah, iaitu membina hubungan hubungan baik dengan pelanggan, memastikan makanan sentiasa berkualiti dan bersikap rendah diri untuk me­nerima maklum balas.

Setelah lebih enam tahun terlibat dalam perniagaan sate, Irdawaty kini mampu menjana pendapatan kasar sehingga RM30,000 sebulan.

“Sekitar 50,000 cucuk sate terjual sebulan bermula pada harga RM1.20 hingga RM2 secucuk tidak termasuk hirisan timun, bawang dan nasi impit mengikut permintaan pelanggan.

“Saya turut mempunyai lima premis memproses sate mentah untuk lebih 10 peniaga sate, restoran serta katering sekitar Batu Gajah dan Ipoh yang mengambil stok secara konsis­ten setiap bulan. Ia menyokong usahawan tempatan lain selain membentuk jaringan perniagaan lebih luas,” katanya.

Menyokong ekonomi setempat, Irdawaty membeli bekalan mentah daripada pembekal tempatan termasuk penternak ruminan di sekitar nege­ri ini.

Katanya, sepanjang terlibat dalam dunia makanan, dia ba­nyak mendapat bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

Turut menyokong ialah Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas), Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken), SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia), Perbadanan Pemba­ngunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Pasangan ini turut membekalkan sate mentah kepada perniagaan di sekitar Batu Gajah dan Ipoh.

Menurutnya, rangkaian agensi itu membantu menerusi geran peralatan mesin, pengubahsuaian premis, pinjaman boleh ubah dengan kadar faedah fleksibel, latihan, pembungkusan dan pelabelan produk, serta ujian makmal secara percuma.

“Agensi-agensi ini turut me­ngajar pengurusan akaun dan kewangan yang betul, selain memantau agar bajet dan kos ope­rasi sempurna supaya perniagaan ini ada kesinambungannya.

“Malah, saya telah melakukan pendaftaran logo atau cap daga­ngan Che Mat Satay menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia sebagai strategi memperkembangkan perniagaan menerusi konsep francais,” katanya.

Irdawaty memaklumkan, Pernas memilih Che Mat Satay untuk dibimbing dan diperkembangkan menerusi konsep francais yang bakal dilancarkan pada tahun ini.

“Konsepnya mudah iaitu kadar pinjaman yang fleksibel, pakej latihan serta peralatan se­perti poster, sepanduk, peti sejuk beku dan kanopi yang membuka peluang kepada ramai rakyat negara ini untuk menjana pendapatan stabil menerusi jualan sate.

“Pulangan pelaburan dijang­ka dalam tempoh masa singkat sekiranya diuruskan dengan betul, selain mendapat bimbingan khusus daripada kami dan Pernas sendiri,” katanya.

Menuju ke arah itu, dia telah mendapat pensijilan halal dan kini dalam proses pengiktirafan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI, dan GMP (Amalan Perkilangan Baik).

Wawasan Irdawaty berdasarkan perancangan strategiknya, lebih 1,000 francaisi Che Mat Satay dapat diwujudkan dalam tempoh lima tahun selain jenamanya dikenali di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI