PUTRAJAYA – Kumpulan Exists sepakat untuk masih ‘menyimpan’ salah seorang vokalisnya, Mamat daripada menyertai konsert solo mereka yang akan diadakan pada 4 Oktober depan di JioSpace, Petaling Jaya.
Tidak pernah menyisihkan Mamat yang kini dalam proses pemulihan akibat penyalahgunaan dadah, pemain keyboard Exists dan juga komposer, Ajai atau nama penuhnya Mohamad Faizal Maas, 50, berkata, Mamat akan menyertai mereka untuk sebuah konsert lebih berskala besar pada tahun depan.
“Bukan ketepikan dia sebaliknya kami sudah ada perancangan rapi untuk Mamat. Cuma buat sekarang kami ‘simpan’ dia untuk konsert reunion Exists pada tahun hadapan.
“Kalau diikutkan ada sahaja persembahan-persembahan kecil yang kami ajak Mamat seperti di Kelantan baru-baru ini.
“Acara sebegitu ibarat pemanas badan untuk Mamat,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert Exists Premium Live @ PJ di sini, semalam.
Tambahnya, Exists gembira melihat keadaan kesihatan Mamat yang semakin pulih selepas menerima rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bentong, Pahang.
Mereka bahkan menegaskan tidak pernah memandang serong apatah lagi mahu mengetepikan Mamat sebaliknya sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Keadaan Mamat sekarang sudah makin baik, malah kami dengar daripada warden dia macam jadi ikon di Pengasih. Macam-macam tugas dia buat.
“Walaupun dia masuk Pengasih tapi pucuk pangkal adalah hatinya yang nak berubah.
“Sebagai abang-abang Mamat, kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia supaya apa yang kami capai, dia turut capai dan rasai perkara sama,” katanya lagi.
Mamat kini sudah hampir setahun berada di bawah pengawasan Pengasih untuk rawatan dan pemulihan selepas terpalit kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
Terdahulu, Mamat pada tahun 2019 berdepan dua pertuduhan mengambil dadah. Bagaimanapun, pada 8 Julai tahun lalu dia berjaya dalam rayuan terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Rentetan itu, dia dikenakan hukuman denda sebanyak RM4,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong.
Dalam perkembangan lain, konsert Exists Premium Live @ PJ mengetengahkan konsep lebih ‘intim’ dengan peminat
Harga tiket konsert itu bermula daripada RM368 sehingga RM588 dan boleh didapati menerusi laman sesawang Jiotix Asia. – KOSMO! ONLINE