TEMERLOH – Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol dan mencabul anak kandungnya yang berusia 10 tahun tiga tahun lalu.
Hakim Jamaludin Mat, memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak sejak tertuduh ditahan pada 12 September 2022.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 54 tahun, didakwa merogol anak kandungnya berusia 10 tahun tiga bulan di sebuah rumah tidak bernombor di Maran pada pertengahan Mac 2022.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum.
Bagi kesalahan kedua, bapa kepada enam anak terbabit didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di tempat sama kira-kira pukul 8 malam, pada 8 Ogos 2022.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Abu Hasan Ashari dan Ahmad Zahid Abu Hashim.
Hakim menetapkan bagi kesalahan merogol tertuduh dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan manakala bagi kesalahan amang seksual fizikal terhadap anak kandung, tertuduh dikenakan penjara 10 tahun dan tiga sebatan.- KOSMO! ONLINE