fbpx

Azeem sasar podium Universiade Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM

JAGUH pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi bertekad memanfaatkan baki tiga minggu terakhir menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Universiti Dunia (Universiade) di Rhine-Ruhr, Jerman bulan depan.

Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan masa 10.09 saat (s) itu mahu memastikan dirinya berada pada tahap terbaik sebelum menghadapi pertandingan tersebut.

Azeem, 21, berkata, fokus utamanya kini membina semula pelan latihan selepas tamat musim Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Amerika Syarikat selain memastikan diri bebas daripada kecederaan.

“Sekarang saya dalam fasa ‘reset’. Selepas habis NCAA, kami terus merancang fasa akhir.

“Tiga minggu ini, saya memang nak berlatih habis-habisan. Kalau saya kekal sihat dan bebas kecederaan, insya-Allah saya boleh sumbangkan sesuatu untuk kontinjen Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Balapan dan Trek Varsiti Siri 2 di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus semalam.

Azeem yang memiliki catatan tahunan terbaik musim ini iaitu 10.20s tidak menetapkan sasaran masa tertentu, sebaliknya berazam layak ke final dalam Kejohanan Universiti Dunia berkenaan.

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, mara ke final 100m kejohanan terbabit merupakan pencapaian yang belum pernah diraih mana-mana pelari negara sebelum ini.

“Saya tak letak sasar catatan masa kerana kalau 10.17s pun pernah bawa pingat. Saya rasa (berada) dalam kelompok yang mampu beri saingan dan mampu ke final atau sumbang pingat.

“Banyak boleh berlaku pada hari perlumbaan. Cabaran sengit menanti khususnya daripada bintang Afrika Selatan, Neo Mosibudi (10.08s) serta pelari-pelari dari Jamaica,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azeem mahu menjadikan rekod kebangsaannya yang dicatat di Colombia pada 2022 sebagai penanda aras untuk terus mengukuhkan lagi statusnya di peringkat antarabangsa.

“Ramai atlet boleh catat bawah 10 saat. Kalau saya nak capai bawah 10 saat, saya kena mula dengan ulang banyak kali 10.20s dahulu. Itu misi saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI