PETALING JAYA – Seorang lelaki kesal apabila terdapat segelintir individu tidak mematuhi peraturan termasuk merokok di dalam surau sekali gus mengambil kesempatan terhadap kebaikan pihak jawatankuasa rumah ibadah itu yang membenarkan mereka menggunakan fasiliti tersebut.
Menerusi hantaran Thread zariff_southpaw, dia memuji pihak jawatankuasa surau di perumahan rumahnya, namun kesal apabila ada yang tidak mematuhi peraturan di situ.
“Surau aku ni bukan saja tabligh, budak lari dari rumah, banduan, penagih dadah semua pernah tidur sini. Cuma orang surau pesan jaga kebersihan dan tutup suis bila tak guna.
“Tapi itulah, dah berkali-kali jumpa bekas makan mi segera tak basuh, plastik makanan ringan bersepah, lampu kipas ‘on’ tapi tak ada orang.
“Nak tegur pun penat hanya mampu geleng kepala saja. Paling teruk setakat ni, jumpa bapa orang tengah lepak sambil hisap rokok dalam surau,” katanya pada luahan tersebut.
Dalam masa sama, dia turut memuat naik gambar cermin di surau tersebut yang retak didakwa akibat kanak-kanak bermain.
“Yang terbaharu, budak-budak main dalam surau sampai retak cermin,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai mengecam perbuatan tersebut dan menasihatkan kepada mereka untuk menggunakan kemudahan surau sebaik-baiknya.
“Si perokok terpaling tak menyempat nak merokok ni elok kena kanser. Merokok tempat tertutup ada akal ke tak. Eh lupa, mesti kepala dah tak ada otak sebab penuh asap,” komen seorang pengguna Thread.
“Memang betul nak mendidik orang ni kena ada kesabaran yang tinggi. Tapi kalau dah memang ruang masjid tu tak digunakan untuk berzikir dan ibadah, memang patutlah orang marah. Apa pun tanggungjawab untuk memakmurkan rumah Allah ada dekat tangan kita semua,” ujar seorang lagi individu.
“Kalau dalam rumah Allah pun dia tak ada rasa malu dengan Allah.Tak tahu nak kata lah,” komen seorang lagi pengguna Thread. – KOSMO! ONLINE