PETALING JAYA – Semua Ahli Parlimen diseru supaya memperbaharui iltizam untuk memelihara dan memperkukuh kepercayaan rakyat serta memperjuangkan prinsip demokrasi.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, setiap Ahli Parlimen juga diseru memelihara serta memperkukuh keterangkuman dan keadilan untuk semua.
“Hanya dengan semangat ini, Parlimen akan kekal relevan dan mampu memimpin perubahan ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Parlimen Antarabangsa hari ini.
Terdahulu, Johari berkata, Setiap tahun pada 30 Jun, institusi legislatif di seluruh dunia memperingati Hari Parlimen Antarabangsa dan mengangkat keamanan, kerjasama serta amalan demokrasi.
Menurut beliau, Hari Parlimen Antarabangsa mengangkat makna yang mendalam tentang peranan parlimen sebagai tunjang utama sistem demokrasi.
Ujar beliau, ketika dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran, ketelusan institusi Parlimen menjadi semakin penting dan relevan agar benar-benar mewakili suara rakyat.
“Hari Parlimen Antarabangsa juga memberi ruang untuk mempertingkat usaha kecekapan dan autonomi institusi.
“Memperluas penyertaan wanita dan golongan muda dalam politik serta kemampuan Parlimen untuk beradaptasi dengan teknologi baharu serta pendekatan digital yang lebih terbuka dan responsif,” katanya. – KOSMO! ONLINE