PETALING JAYA – Isteri tidak perlu meminta cerai, sebaliknya boleh terus memfailkan permohonan fasakh sekiranya suami dijangkiti penyakit kelamin seperti herpes genital.
Mengulas perkara berkenaan, peguam syariah, Fahmi Ramli berkata, ia berdasarkan Seksyen 53(1)(h), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri-negeri).
“Isteri boleh memohon fasakh jika suami menghidap penyakit kelamin yang berjangkit dan menjijikkan.
“Jadi, apabila suami tak setia dan isteri pula terima ‘hadiah’ berupa penyakit kelamin seperti herpes genital, isteri boleh tuntut fasakh,” katanya di Facebook.
Katanya, herpes adalah penyakit kelamin yang menular melalui hubungan seks dan ia tergolong sebagai penyakit berjangkit yang memudaratkan.
Fahmi berkata, jika suami enggan mendapatkan rawatan atau penyakit itu berpanjangan dan berisiko kepada isteri, maka hak fasakh boleh dibuka.
“Dalam kes begini, isteri tidak perlu minta cerai daripada suami. Sebaliknya, isteri boleh terus failkan permohonan fasakh di Mahkamah Syariah dengan membawa laporan perubatan, bukti jangkitan, atau saksi yang menyokong dakwaan,” katanya.
Fahmi berkata, undang-undang Islam tidak mewajibkan isteri bertahan jika kesihatan dan maruah dirinya tergadai.
“Apabila suami curang, isteri yang menanggung luka tapi di sisi syariah, wanita tetap ada ruang untuk melindungi diri dan keluar dari kezaliman,” katanya. – KOSMO! ONLINE