PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita mencuri telefon bimbit di sebuah premis perniagaan di Batu 9, Cheras mengundang padah apabila perbuatannya berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 27 Jun lalu, sekitar pukul 9.48 malam.
Menurut beliau, laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 20 tahun yang bekerja di premis tersebut.
Katanya, mangsa memaklumkan telefon bimbit miliknya jenis Huawei Nova 5G yang diletakkan di atas meja kaunter telah hilang dan dipercayai dicuri.
“Hasil semakan rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita telah mengambil telefon bimbit tersebut ketika mangsa sedang bertugas di kaunter.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ammar Mohd Tahir di talian 018-2586153. – KOSMO! ONLINE