KULIM – Sebanyak 15 khemah di sebuah festival makanan rosak akibat dibadai ribut dalam kejadian di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, kesemua 15 daripada 30 khemah di situ rosak dan terbalik.
Peniaga makanan, Hasliana Hassan, 34, yang menjual makanan seperti sup, ramen dan bakso serta air balang berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur di dalam khemah itu bersama lapan pekerjanya.
“Sekitar pukul 4.20 pagi, angin mula bertiup sebelum ia menjadi kencang. Kami sangka hanya angin biasa, rupa-rupanya ribut.
“Pekerja saya sempat memegang tiang khemah, namun dalam masa dua minit sahaja khemah terus terangkat menyebabkan kami semua serta barangan niaga basah terkena air hujan” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu pihak penganjur memaklumkan terdapat kira-kira 30 khemah jualan pada tapak karnival dengan 15 daripadanya rosak teruk.
“Ini merupakan kali kedua kami berdepan situasi ribut yang buruk sepanjang menganjurkan ekspo yang mana kejadian pertama pernah berlaku di Padang Serai, dekat sini pada Mac 2023,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE