GEORGE TOWN – Seorang warga emas dilaporkan hilang ketika mencari buah durian di dusun yang terletak di Changkat Sungai Ara di sini, malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Daud, 65, sehingga kini masih gagal ditemui.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada pasukan polis pada pukul 6.04 petang tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Komander Operasi, Mohamad Hirman Mat Rodzi.
“Kita menerima maklumat terdapat seorang mangsa hilang di hutan ketika aktiviti mencari buah durian di dusun.
“Operasi pencarian dilakukan bersama pihak polis dan AngkatanPertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan mangsa hilang namun sehingga pukul 9 malam tadi mangsa masih belum dijumpai.
“Hasil perbincangan bersama pihak polis dan agensi lain, operasi pencarian ditangguhkan pada pukul 8 malam tadi dan akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok,” katanya di sini sebentar tadi.
Jelasnya lagi, pihaknya dimaklumkan yang pencarian dari pihak polis dan sumber lain masih diteruskan menerusi maklumat dari keluarga mangsa. -KOSMO! ONLINE