PETALING JAYA – Penyanyi dan anggota kumpulan Elite, Linda Rafar mengakui komen negatif berkaitan busana yang digayakan pada majlis sidang media konsert Elite Live’25 baru-baru ini memberi impak kepada kesihatan mentalnya.
Menurut Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar, 47, dia juga pernah terfikir untuk menarik diri daripada terlibat dengan konsert tersebut disebabkan terlalu tertekan dengan kecaman netizen.
“Kalau saya ini jenis liar, memang tidak kisah kalau orang kritik tapi bila orang label saya penunggang agama, rasa sangat sedih.
“Saya tidak kisah dikritik soal vokal, tarian, usia, kerana sedar Elite bukanlah hebat mana pun, malah peminat pun tahu kami macam mana.
“Mungkin saya tak pernah kena kecaman sebegini, jadi saya terkesan. Nak tidur pun terfikir-fikir sampai saya rasa nak tarik diri.
“Semangat saya daripada teruja bertukar duka. Bab agama memang sensitif dan tak okey kecaman sebegitu,” katanya.
Ujar Linda, dia juga mengalami masalah sukar tidur kerana komen negatif daripada netizen.
“Saya ingat saya kuat rupa-rupanya tidak. Saya juga tidak balas satu pun dalam ‘group’ WhatsApp kami.
“Saya menangis bila ada yang komen saya menunggang agama. Sampai ada yang ‘tag’ Ustaz Wadi Annuar, kerana saya anak muridnya.
“Disebabkan itu, saya jadi malu bila dituduh seolah-olah terpesong hanya disebabkan baju yang saya pakai pada sidang media itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk penganjur konsert, Iman Tang dari Icon Entertainment berhubung isu tersebut.
“Sebenarnya, pakaian kami semua sudah disediakan, kami hanya datang bersiap dan tiada pilihan kedua.
“Namun, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang menyediakan budana tersebut bahkan dan pihak penganjur konsert iaitu Iman Tang juga sudah memohon maaf,” jelasnya.
Terdahulu, Linda menerima kecaman negatif susulan segelintir pihak mendakwa busana yang dipakainya dikatakan tidak bersesuaian dengan imej wanita bertudung.
Pada majlis tersebut, Linda memakai dres berona hitam dan putih yang disediakan oleh pihak penganjur. – KOSMO! ONLINE