PETALING JAYA – Persatuan Veteran Tentera Malaysia Kaum Cina (MACVA) menyeru lebih ramai kaum itu menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menawarkan pelbagai peluang.
Presidennya, Leftenan Kolonel (B) Wong Ah Jit berkata, generasi masyarakat Cina terdahulu juga pernah berkhidmat dan mempertahankan negara.
“Kerjaya tentera bukanlah laluan mudah tetapi ia membina sahsiah, menyemai disiplin, membangunkan kepimpinan dan yang paling penting memberi peluang kepada golongan muda untuk terbabit secara langsung dalam pembangunan negara dan memikul tanggungjawab melindungi rakyat.
“Generasi kini sewajarnya meneruskan tradisi ini dan memastikan komuniti Cina terus mempunyai suara, kehadiran dan sumbangan dalam angkatan tentera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MACVA turut menyeru keluarga Cina dan pertubuhan komuniti di seluruh negara untuk menyokong golongan muda mereka meneroka laluan perkhidmatan tentera, dan menggalakkan mereka menyarung uniform dengan bangga serta membina kerjaya bermakna dalam pertahanan negara.
“Ini negara kita, tanah kita dan pertahanan negara tidak seharusnya tanpa kehadiran dan sumbangan komuniti Cina.
“Menyertai tentera tidak bermakna melepaskan impian. Ia bermakna memilih laluan yang berbeza dengan cabaran yang lebih besar,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE