PETALING JAYA – Pengguna perlu bersedia menghadapi kenaikan harga ais blok bermula 1 Julai ini apabila sebuah syarikat pengeluar ais mengumumkan penyelarasan kadar harga produk mereka.
Menurut kenyataan rasmi syarikat, keputusan menaikkan harga bukanlah satu langkah yang mudah, namun terpaksa dilakukan ekoran peningkatan kos operasi yang semakin mendesak.
“Kadar kenaikan harga ais blok, harga minimum jualan setiap pek adalah RM6.
“Pihak syarikat telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan harga sedia ada, namun tekanan kos dari pelbagai aspek termasuk bahan mentah, tenaga dan logistik menyebabkan kami tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga ais keluaran kami.
“Kami komited untuk terus menawarkan produk berkualiti dengan harga yang terbaik. Kerjasama dan sokongan anda amat kami hargai,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, di ruangan komen ramai yang terkejut dengan kenaikan harga ais blok tersebut yang dikatakan sekali ganda daripada harga asal.
“Dahulu harga ais blok satu pek RM3.70, akan datang RM6. Peniaga pasti terjejas, apabila harga jualan minuman dinaikkan akan timbul isu kekurangan pelanggan,” kata Malik.
“Saya antara yang akan menangis dengan harga baharu ais blok. Sebagai peniaga ABC dan cendol, kami sangat terkesan dan terhimpit dengan situasi ini,” luah Ayunni. – KOSMO! ONLINE