JOHOR BAHRU – Hospital Pasir Gudang (HPG) di sini yang baharu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bakal memulakan operasi fasa pertamanya pada 1 Ogos ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, operasi tersebut hanya melibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan operasi hospital berkenaan.
Menurut beliau, pengoperasiannya akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga ia beroperasi secara sepenuh pada Julai 2026.
“Apabila beroperasi, ia dijangka mengurangkan sehingga 10 peratusan kepenggunaan katil pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA), selain 30 peratus waktu menunggu bagi pesakit menjalani pembedahan elektif di hospital berkenaan.
“Hospital major kelapan di Johor ini turut dilengkapi 304 katil dan bakal menempatkan seramai 1,845 perjawatan, ketika ini sebanyak 274 perjawatan telah diisi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek HPG, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Menurutnya, hospital yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM500 juta itu bakal menjadi hospital pertama di Malaysia yang menyediakan bilik ‘on call suite’ untuk doktor terlibat.-KOSMO! ONLINE