MANCHESTER – Manchester United bakal membuat bidaan besar untuk mendapatkan Rafael Leao selepas meletakkan bintang AC Milan itu sebagai salah satu sasaran utama musim panas ini.
Menurut laporan, The Red Devils merancang menawarkan sekitar £60 juta (RM347.8 juta) untuk membawa masuk pemain sayap Portugal berusia 26 tahun itu yang kini dinilai sekitar £85 juta (RM492 juta) oleh Milan.
Leao telah meledak 12 gol dan mencipta 13 bantuan jaringan dalam 50 penampilan musim lalu, angka yang cukup meyakinkan United untuk menjadikannya tonggak utama dalam projek kebangkitan di bawah INEOS.
Dalam masa sama, Bayern Munich turut dikaitkan, tetapi United berada di hadapan selepas menyatakan minat kepada wakil Leao sejak awal Jun dan pemain itu juga sudah lama mendapat pujian daripada rakan senegara, Bruno Fernandes.
“Saya kenal dia sejak di Sporting Lisbon. Dia berbakat besar dan boleh jadi lebih hebat. Dia pemain fenomena,” kata Fernandes.
Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher turut menyifatkan Leao sebagai amat berbisa ketika pemain itu mempamer aksi luar biasa dalam Liga Juara-Juara tahun lalu.
Leao yang membantu Milan memenangi Serie A dan Piala Super Itali sejak 2019, selain turut menyerlah di pentas antarabangsa apabila membantu Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA musim lalu.
United kini dalam fasa menjual beberapa pemain sayap sedia ada termasuk Jadon Sancho, Antony dan kemungkinan Marcus Rashford untuk membuka ruang kepada Leao menyertai skuad utama. – AGENSI