GEORGE TOWN – Bekas pengurus program sebuah syarikat penerbangan berdepan kerugian sebanyak RM436,000 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang dipromosikan melalui aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Menurut beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan daripada mangsa berusia 62 tahun, pada 12 Jun lalu
”Modus operandi kes ini adalah melalui tawaran pelaburan saham IPO dengan pulangan tinggi yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Enspire Capital’.
”Mangsa telah diminta memuat turun aplikasi ‘Freeman Plus’ sebagai platform pelaburan dan membuat 56 transaksi pindahan wang ke empat akaun syarikat berbeza antara 12 Mei hingga 2 Jun,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan malah, suspek turut meminta wang tambahan sebelum mangsa menyedari telah diperdaya.
”Siasatan mendapati keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM436,000 melibatkan wang simpanan peribadi dan dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujarnya. -KOSMO! ONLINE