FULHAM – Chelsea kini berada dalam posisi terbaik untuk mendapatkan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez, selepas kelab itu bersedia melepaskan bintang Argentina itu dengan harga sekitar £45 juta (RM260 juta).
Villa terpaksa membuka pintu perpindahan bagi mengelak pelanggaran Peraturan Keuntungan dan Kestabilan (PSR), sekali gus membuka peluang buat Chelsea yang sedang giat mencari penjaga gol utama baharu selepas Robert Sanchez dan Filip Jorgensen gagal meyakinkan Enzo Maresca sepanjang musim lalu.
Manchester United turut berminat mendapatkan Martinez dan difahamkan pilihan utama pemain berusia 32 tahun itu adalah ke Old Trafford berdasarkan hubungan rapatnya dengan beberapa rakan sepasukan skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, perpindahan ke United mungkin tergendala apabila Ruben Amorim menetapkan kelab itu perlu terlebih dahulu menjual Andre Onana dengan harga sekurang-kurangnya £35 juta (RM202 juta) sebelum boleh membawa masuk penjaga gol baharu.
Situasi itu membuka laluan buat Chelsea bergerak lebih pantas, apatah lagi dengan kehadiran penolong jurulatih Willy Caballero yang juga merupakan idola Martinez dan dijangka memainkan peranan penting dalam rundingan.
Berikutan tekanan untuk menjual pemain bagi menstabilkan kewangan, Villa enggan melepaskan bakat muda England, Morgan Rogers, menjadikan penjualan Martinez sebagai langkah paling praktikal. – AGENSI