PONTIAN – Akibat kecuaian orang lain, seorang lelaki warga emas terbunuh dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 82.3, Jalan Johor Bahru – Batu Pahat, Benut, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam, mangsa, Ahmad Mustar Mardi, 62, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, ketika kejadian, Allahyarham yang menunggang motosikal Honda EX5 datang dari arah Pontian ke Benut, manakala sebuah lagi motosikal Modenas Kriss datang dari arah Benut ke Pontian.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang datang arah Benut ke Pontian tiba-tiba membelok ke kanan lalu memasuki laluan motosikal mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu katanya, penunggang motosikal tersebut seorang warga Pakistan mengalami kecederaan parah pada kaki dan tangan telah dihantar ke Hospital Pontian bagi rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE