fbpx

Air mata iringi kepulangan Pogba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POGBA kembali ke kancah bola sepak selepas menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Monaco. - FB AS MONACO

MONACO – Paul Pogba tidak dapat menahan air mata ketika menandatangani kontrak dua tahun bersama AS Monaco, sekali gus mengesahkan kepulangan semula ke kancah bola sepak kompetitif selepas digantung akibat doping.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu digantung sementara selepas didapati positif dehydroepiandrosterone (DHEA) dalam ujian rawak selepas aksi pembukaan Serie A musim lalu bersama Juventus.

Pogba pada awalnya dikenakan penggantungan empat tahun, namun hukuman itu dikurangkan kepada 18 bulan pada Oktober lalu selepas rayuan berjaya.

“Saya ucap terima kasih atas kepercayaan ini,” kata Pogba menerusi video pengumuman yang merupakan isyarat jelas kepada kebangkitan semula kariernya.

Pogba dan Juventus bersetuju menamatkan kontrak secara bersama pada November dan sejak Mac lalu, dia bebas menyertai mana-mana kelab sebagai ejen bebas.

Ini juga bakal menjadi kali pertama pemenang Piala Dunia itu beraksi dalam Ligue 1 sejak bergelar pemain profesional.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam keputusannya mengesahkan Pogba mengambil DHEA secara tidak sengaja iaitu bahan yang meningkatkan kadar testosteron, namun hanya memberi kesan kepada wanita.

Sebagai rekod, Pogba memulakan karier bersama Manchester United sebelum menyinar di Juventus dengan empat gelaran Serie A dan dua kejuaraan berganda.

Pada 2016, dia kembali ke Old Trafford dengan nilai perpindahan rekod dunia dengan £89 juta (RM515 juta) dan membantu Red Devils menjulang Liga Europa dan Piala FA pada musim berikutnya.

Bersama skuad kebangsaan, Pogba memiliki 91 caps dan menjadi tonggak utama ketika membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018, termasuk menjaringkan gol dalam kemenangan final ke atas Croatia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI