fbpx

3 laporan diterima babit insiden bakar suar Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan sekitar ibu negara, hari ini. Foto oleh AMIR HAIKAL/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis terima tiga laporan polis berkaitan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di sekitar ibu kota hari ini.

Ia susulan kejadian salah seorang peserta Gabungan Mahasiswa mula membakar suar sehingga menyebabkan kepulan asap tebal.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, tindakan pelaku itu menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan juga orang awam berdekatan.

“Ekoran dari tindakan tersebut, pihak polis mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak.

“Semasa tindakan pencegahan diambil, berlaku pergelutan antara peserta perhimpunan dan anggota polis Op Aman sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada salah seorang petugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Sulizme, pergelutan tersebut akhirnya berjaya dileraikan oleh pihak polis.

“Susulan itu, terdapat tiga laporan polis dibuat. Kertas siasatan polis dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atau Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta yang sama.

“Justeru, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan,” katanya.

Terdahulu, perhimpunan yang melibatkan 100 orang terdiri daripada Gabungan Mahasiswa bermula dari Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman kemudian berarak ke Dataran Merdeka, Jalan Raja.

Suasana aman kemudiannya bertukar menjadi genting apabila salah seorang peserta membakar suar sehingga menimbulkan rasa panik dalam kalangan peserta dan orang awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI