CAMERON HIGHLANDS – Industri penanaman sayur di Cameron Highlands yang sebelum ini menjadi nadi bekalan hasil pertanian negara kini berdepan kemerosotan serius didakwa berpunca daripada persaingan dengan pengeluar luar negara.
Lebih membimbangkan apabila ramai pekebun bersedia melepaskan ladang masing-masing kerana tidak lagi mampu menampung kerugian bulanan.
Menurut mereka, semua jenis sayur-sayuran popular seperti kobis, kobis bunga, brokoli, tomato, keledek dan buah-buahan perlu bersaing dengan sayuran yang bawa dari luar negara.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pekebun-Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Lau Weng Soow berkata, harga pasaran sayur tempatan juga semakin merudum akibat lambakan sayur import dari China, Vietnam, Indonesia, New Zealand dan Thailand.
“Harga lelong kobis dan sawi kini hanya sekitar 30 hingga 50 sen sekilogram, manakala tomato dijual pada harga RM1.20 sekilogram walaupun kos penanaman mencecah RM2.50 sekilogram. Sayur jenis timun Jepun pula hanya dijual pada harga 50 sen sekilogram.
“Bayangkan petani yang memiliki kebun seluas 1.2 hektar kini menanggung kerugian sehingga RM10,000 sebulan,” katanya di sini semalam.
Katanya, situasi bertambah parah selepas kerajaan memansuhkan subsidi diesel bersasar, sekali gus memberi tekanan besar kepada pekebun yang bergantung kepada pacuan empat roda serta jentera pertanian diesel untuk urusan harian di kebun.
Tambahnya, perintah gaji minimum RM1,700 turut membebankan pengusaha ladang yang kebanyakan beroperasi secara kecil-kecilan dan tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi.
Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong pula menggesa menteri berkaitan untuk turun padang bagi menilai sendiri keperitan yang ditanggung lebih 5,000 pekebun dari pelbagai kaum.
“Jika tiada langkah segera, industri sayur tanah tinggi ini akan mati,” tegasnya.
Katanya, data meunjukkan terdapat kira-kira 4,000 hektar tanah digunakan untuk penanaman sayur di Cameron Highlands termasuk kawasan Lojing.