BANGKOK – Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di ibu negara Thailand, Bangkok untuk menuntut Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra meletak jawatan susulan skandal panggilan telefon diplomatik yang bocor sehingga mencetuskan kemarahan awam.
Pemimpin veteran Kemboja, Hun Sen membocorkan panggilan telefon tersebut yang bertujuan meredakan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara. Semasa perbualan rasmi mereka, Paetongtarn memanggil beliau ‘pakcik’ dan merujuk seorang komander tentera Thailand sebagai ‘lawannya’.
Sebuah parti utama dalam kerajaan campuran pimpinan Paetongtarn kemudian menarik diri selepas menuduh perdana menteri berumur 38 tahun itu tunduk kepada Kemboja.
Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di sekitar Tugu Kemenangan sambil membawa sepanduk tertera perkataan bermaksud: “PM Jahat, berambus”.
Seorang penceramah dilihat naik ke pentas dan menjerit: “PM, anda telah melakukan pengkhianatan!”
Protes itu disertai penunjuk perasaan berusia warga emas dan dipimpin aktivis veteran gerakan ‘Baju Kuning’ yang membantu menggulingkan bapa Paetongtarn, Thaksin Shinawatra pada tahun 2000-an.
Salah seorang bekas sekutu Thaksin yang kini antara pengkritik paling kerasnya, juga merupakan penganjur utama.
“Saya di sini untuk melindungi kedaulatan Thailand dan untuk mengatakan PM (Paetongtarn) tidak layak,” kata penunjuk perasaan berusia 70 tahun, Seri Sawangmue yang melakukan perjalanan semalaman dengan menaiki bas dari utara negara itu untuk hadir.
Thailand menyaksikan dekad-dekad pertembungan antara ‘Baju Kuning’ yang melindungi monarki dan tentera serta penyokong kumpulan ‘Baju Merah’ menyokong Thaksin.
Jamnong Kalana, 64, berkata, dia pernah menjadi anggota Baju Merah tetapi menukar pendiriannya dan menuntut peletakan jawatan Paetongtarn iaitu pemimpin parti Pheu Thai.
“Saya sangat sedih apabila melihat seorang rakyat Thailand yang tidak mencintai negara seperti saya,” katanya.
Protes besar-besaran jarang berlaku di Thailand sejak 2021, apabila demonstrasi didorong oleh belia yang menyeru reformasi monarki, berakhir dengan ramai pemimpin mereka disabitkan di bawah undang-undang lese-majeste Thailand.
Pihak berkuasa berkata, lebih 1,000 pegawai dan anggota polis serta 100 anggota pentadbiran bandar raya dikerahkan ke protes itu yang kekal aman setakat pada petang ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Paetongtarn yang melawat kawasan banjir di utara Thailand memberitahu wartawan: “Itu hak mereka untuk membantah, selagi ia aman.”
Tentera Thailand telah melakukan 12 rampasan kuasa sejak pemerintahan monarki mutlak berakhir pada tahun 1932 dengan ahli-ahli politik berhati-hati agar tidak menentang para jeneral. – AFP